Pemikiran tasawuf menurut Abu Hasan Ali Hasan Al-Nadwi

Revisi sejak 18 Februari 2023 05.39 oleh Xolva (bicara | kontrib) (Perbaikan kata kata yang salah,dan mengganti besar kecilnya huruf)

Pemikiran tasawuf menurut Abu Hasan Ali Hasan Al-Nadwi dalam bukunya al-Rabbaniyyah la Rahbaniyyah menjelaskan keperluan umat Islam kepada tazkiyyah yang merupakan salah satu tugas para nabi. Namun, beliau tidak mau terjebak dalam perbrlahan terminologi atau peristilahan “tasawuf”. Beliau lebih cenderung menggunakan istilah tazkiyyah atau fiqh Al-Batin atau Ihsan. Al-Nadwi turut membicarakan tokoh-tokoh ulama rabbani dan peranan mereka dalam penyebaran dakwah. Beliau juga seorang pengamal tareqat al-Jathtisyah, namun kesufiannya itu diterima juga oleh golongan salafi.[1]

Abu Hasan Ali Hasan Al-Nadwi (1913–1999)

Al-Nadwi menjelaskan kepentingan kehidupan kerohanian dalam Islam dan ia merupakan salah satu tugas para rasul yaitu penyucian jiwa. Beliau tidak mementingkan persoalan nama tetapi yang pentingnya adalah isi dari ilmu tersebut yaitu pembersihan jiwa dan kecintaan kepada Tuhan dan berakhlak mulia. Al-Nadwi berjaya mengharmonikan antara golongan yang anti-tawasuf dengan golongan sufi agar melihat kembali kepentingan tazkiyah al-Nafs. Oleh itu, jika seseorang tidak menyukai penggunaan kalimah tasawuf, maka boleh digunakan istilah seperti fiqh alBatin, tazkiyyah al-Nafs atau tarbiah imaniah atau kehidupan rabbaniah. Orang-orang yang bertasawuf adalah mereka yang gigih berjihad, berdakwah dan inginkan syahid. Tawasuf bukan membawa kemalasan, mengasingkan diri dan membenci dunia dan kemajuan. Al-Nadwi mengakui bahawa orang-orang sufi mempunyai sumbangan besar dalam perkembangan dakwah dan penyebaran Islam ke seluruh dunia. Sejarah telah memperlihatkan kisah-kisah yang mengagumkan dari para pendakwah dan masyayikh yang telah berhasil membawa pemimpin Tartar dan raja-raja ke pangkuan Islam yang kemudiannya diikuti oleh rakyat. Rahasia dari adanya keperibadian yang kuat pada setiap pergerakan jihad dan perjuangan dakwah kerana kerohanian yang kuat. Perjuangan dan latihan, penyucian jiwa dan hubungan dengan Allah ini melahirkan pada manusia sesuatu yang menakjubkan seperti kerinduan, kasih sayang dan kecintaan. Keadaan ini terlihat dalam kehidupan mereka dan perhentian terakhir dalam perjalanan rohaniah yang panjang ini ialah kecintaan untuk gugur sebagai syahid.[1]

Antara perkara yang menyuburkan kehidupan kerohanian ialah memperbanyakkan membaca al-Quran, hidup bersama RasuluLlah melalui sirahnya, sentiasa bergaul dengan orang soleh, sentiasa berzikir, selalu menangis kerana takut kepada Allah dan melakukan amalan-amalan sunat. Ciri-ciri kehidupan kerohanian Islam berdasarkan tauhid kepada Allah yang Maha Esa, berdasarkan kepada syariat Ilahi, lengkap dan penyatuan, kemudahan, kesederhanaan dan seimbang dan kepelbagaian. Al-Nadwi adalah seorang pengamal Tareqat al-Naqsyabandiah al-Mujaddidi al-Jathtisy.Walaupun beliau pengamal tareqat tetapi pendekatannya dapat diterima oleh golongan salafi. Oleh itu, perkara yang lebih utama ialah isi dari tasawuf iaitu penyucian jiwa dan akhlak yang mulia.[1]

KEHIDUPAN RABBANI

Tazkiyyah ialah penyucian jiwa dan dihiasinya dengan amalanamalan keutamaan dan pembersihan dari segala kotoran. Tazkiyyah dapat dilihat menerusi kehidupan para Sahabat dari sudut keikhlasan dan akhlak mereka. Menurutnya, Ihsan itu ialah kualiti keyakinan yang perlu diusahakan dan dikejar oleh seseorang.[1] RasuluLlah S.A.W ditanya, apakah Ihsan itu? Beliau menjawab:

ما الإحسان ؟ قال : أن تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Hendaklah kamu beribadah kepada Allah. Seakan kamu melihat-Nya, Jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu. Abu Hassan Ali al-Nadwi menggunakan kalimah Rabbaniah bagi menggambarkan ciri-ciri kehidupan tasawuf. Al-Nadwi menjelaskan kekeliruan orang awam mengenai istilah tasawuf dan tazkiyyatun nafs dan ihsan. Menurut al-Nadwi, istilah yang digunakan al-Quran ialah tazkiyyah dan beliau lebih suka menggunakan istilah tersebut atau ihsan atau fiqh al-Batin. Sepatutnya kaum Muslimin menggunakan istilah tersebut dan meninggalkan istilah-istilah yang membawa kepada polemik dan pertikaian yang berpanjangan. Ketiga-tiga istilah itu memberi makna kepada ilmu yang berkepentingan dengan mensucikan dan mendidik jiwa, menghiasinya dengan segala keutamaan syarak dan membersihkannya dari segala dosa serta menyeru kepada kesempurnaan iman dan mengikuti RasuluLlah SAW dalam sifat-sifat batiniah. Al-Nadwi berkeyakinan dengan adanya segolongan yang menyeru kepada penyucian jiwa yang murni dari segala noda kaum kafir dan falsafah, kepada ihsan dan fiqh al-Batin tanpa penyelewengan dan takwil. Mereka memperbaharui pengubatan nabawi ini bagi setiap masa, meniupkan ruh iman dan ihsan, memperbaharui hubungan kalbu dengan Allah, tubuh dengan ruh, masyarakat dengan akhlak dan ulama dengan rabbaniyyah. Al-Nadwi juga mengupas mengenai krisis kerohanian dan akhlak di dalam negara Islam, sebab-sebab dan cara mengatasinya. Menurut alNadwi, umat Islam harus kembali kepada tazkiyyah al-Nabawiyyah (pembersihan jiwa cara Nabi). Umat Islam memerlukan pendakwah yang mempunyai personaliti yang tergabung di dalamnya pembacaan al-Quran, belajar dan mengajar al-Quran, berhikmah dan tazkiyyah al-Nafs.

Menurut al-Nadwi, istilah tasawuf ini melalui penyimpangan dari makna hakikat yang sebenar. Hal ini disebabkan penyimpangan oleh orang-orang yang ingin membinasakannya dan kerosakan orangorang yang jahil. Oleh itu, kita perlu kepada hakikat yang sebenar iaitu memperbaharui hubungan kalbu dengan Allah, tubuh dengan ruh, masyarakat dengan akhlak, ulama dengan rabbaniyyah. Di samping mewujudkan dalam masyarakat kekuatan untuk melawan syahwat sama ada berbentuk harta, anak, perhiasan kehidupan dunia, pangkat dan kekuasaan. Namun beliau menyebutkan hakikat ini telah ditinggalkan oleh umat Islam yang menyebabkan berlaku krisis kerohanian di mana segelintir umat Islam menjadi pemburu material yang gila, rakus terhadap harta, bergelumang dengan penyakit sosial dan akhlak. Pertubuhan sosial dan dakwah telah dirosakkan oleh keinginan dunia, ketandusan pendidikan jiwa, kelemahan kepimpinan serta perpecahan yang bagaikan tidak berkesudahan. Kekuatan para ulama menjadi lemah kerana perhatiannya yang berlebihan terhadap kemewahan dan ketakutan yang berlebihan kepada kemiskinan serta kecenderungan untuk hidup bersenang-senangan. Ubat bagi semua ini hanya kembali kepada “Tazkiyyah Nabawiah” yang diungkap oleh al-Quran dan untuk itu Rasul diutuskan dan para ulama dengan sifat rabbaniyyah seperti firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحُكْمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا۟ عِبَادًۭا لِّى مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن كُونُوا۟ رَبَّـٰنِيِّـۧنَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ ٱلْكِتَـٰبَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang ALlah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orangorang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah ALlah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah ALlah Taala Dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab ALlah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Namun, menurut al-Nadwi dalam setiap masa dan generasi akan ada orang yang menyeru kepada penyucian, ihsan dan fiqh al-Batin ini. Mereka memperbaharui hubungan hati dengan ALlah, jasad dengan ruh, masyarakat dengan akhlak dan ulama dengan rabbaniyyah, di samping mewujudkan kekuatan di dalam masyarakat untuk melawan hawa nafsu sama ada berbentuk, harta, anak, pangkat dan kedudukan. Tidak syak lagi, sekiranya tidak kerana mereka yang berjiwa bersih, yang mencapai darjat ihsan dan fiqh al-Batin barangkali masyarakat Islam akan hancur dari segi iman dan kerohanian. Hal yang sedemikian ini mungkin berlaku kerana gelombang “materialisme” akan menghakis sisa keimanan umat, hubungan hati dengan Allah dan kehidupan dengan ruh dan masyarakat dengan akhlak yang lemah. Oleh itu, kekosongan ini harus diisi dengan menyucikan diri, memperbaharui keimanan dan hubungan dengan ALlah, dan memperbaiki hati dengan amalan soleh. Al-Nadwi membawa contoh ulama-ulama sufi dalam dakwah seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani (m. 561 H), Hasan al-Basri (m. 110 H), Fudail bin ‘Iyad (m.187 H) dan Junaid al-Baghdadi (m. 298 H). Syeikh Abdul Qadir al-Jailani adalah seorang sufi dan pendakwah yang berjaya mendidik dan memperbaiki dakwah, iman dan Islam. Banyak orang yang memeluk Islam di tangannya dan melaksanakan perjanjian dengan ALlah dengan tidak menyekutu-Nya, bertaubat dan memperbaharui keimanan. Lalu mereka menyebar dakwah ke seluruh dunia. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani telah melakukan dakwah dan jihad ini dengan mengemukakan akidah yang jelas dan mudah lebih dari setengah abad.Rahsia kejayaan dakwah Syeikh Abdul Qadir dalam menghadapi pelbagai bentuk kediktatoran, fitnah, adu domba dan politik yang tidak stabil ialah keikhlasannya yang tidak dapat diragukan lagi, kezuhudan dan gigih dalam memberi nasihat dan kasihnya kepada orang yang memeluk Islam. Malah beliau amat menjunjung tinggi kemanusiaan dan dakwah serta menyeru kepada jalan yang haq. Seterusnya para murid Syeikh Abdul Qadir al-Jailani serta orang yang mengikuti jejak mereka dalam berdakwah dan mendidik jiwa mempunyai pengaruh dan sumbangan yang besar dalam penyebaran dan perkembangan Islam di kawasan yang jauh yang tidak dimasuki oleh tentera Islam seperti di Afrika, Indonesia, China dan India serta daerah-daerah di sepanjang lautan Hindi.

Al-Nadwi juga membicarakan tentang tentera Tartar yang bengis dan kejam yang telah menawan Baghdad pada kurun ke- 7H akhirnya telah memeluk Islam di tangan para pendakwah. Para sejarawan menyatakan bahawa Tartar tidak mungkin dapat dikalahkan dan dunia Islam akan berada dalam pemerintahan mereka yang liar dan Islam tidak mempunyai masa depan lagi. Dalam keadaan seperti ini, bangkitlah para pendakwah yang ikhlas yang sehingga kini tidak diketahui nama kebanyakan mereka. Mereka berdakwah kepada manusia-manusia kasar yang bengis itu, membuka hati mereka mencintai dan memeluk Islam. Apabila mereka memeluk Islam, mereka telah bertukar menjadi pelindung dan seterusnya melangsungkan penyebaran dakwah Islam. Di antara mereka ada yang menjadi fuqaha, orang berzuhud dan mujahidin. Pengislaman mereka adalah hasil usaha pendakwah sufi. Demikianlah kelompok manusia yang setelah menundukkan Dunia Islam, kini mereka pula tunduk kepada Islam. Pada masa itu sudah ada agama-agama terbesar di dunia iaitu agama Buddha, Kristian dan Islam, yang bersaing untuk memperolehi kekuatan bagi menguasai dunia ini. Buddha lebih cenderung ke arah kembali kepada bentuk tradisi dan lingkungannya, Kristian lebih bersifat elit dan dekat dengan majlis-majlis rajanya. Namun Islam, dengan keikhlasan para pendakwahnya yang tinggi berhasil meraih kemenangan ke atas kedua-dua agama Buddha dan Kristian. Tidak diragukan lagi bahawa kejayaan ini adalah berkat usaha keikhlasan dan rabbaniyyah para pendakwah dan kegigihan mereka dalam memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim yang menumpahkan darah orang Islam tanpa ada belas kasihan. Mereka menggunakan setiap kesempatan untuk mencapai maksud dakwah tersebut dan dilakukan dengan hikmat, kelembutan nasihat dan bersih dari sifat keegoan dan sombong.

Al-Nadwi membicarakan ketokohan Ibn Taimiyyah (m. 728 H) sebagai seorang Arif billah. Setiap orang merasa lapang dada untuk mengiktirafnya bahawa dia menduduki kedudukan itu dan menikmati seluruh tujuan yang tidak mudah dicapai kecuali melalui berbagai latihan yang sulit, mujahadah yang panjang, pendidikan kerohanian dari para imam dalam bidang ini, serta sentiasa zikir dan muraqabah. Menurut al-Nadwi, untuk mencapai tujuan dan maksud hakikat keimanan, keikhlasan dan penyucian batin tidak hanya terbatas kepada aturan tasawuf dan suluk sahaja. Namun, keimanan, muhasabah diri, mengikuti sunnah sama ada melalui amalan, bacaan dan pengajaran, berbakti kepada masyarakat dan jihad, menyuruh yang baik dan mencegah perbuatan mungkar, berdakwah dan tabligh dengan niat yang benar dan mengharap keredhaan ALlah merupakan jalan untuk mendekatkan diri kepada ALlah (ma’a Allah). Tidak ada halangan untuk menggunakan pelbagai cara dan jalan tetapi dengan tujuan yang satu. Al-Nadwi membawa sifatsifat Ibn Taimiyyah yang menunjukkan beliau sebagai arif billah melalui kesaksian orang-orang yang hidup sezaman dengannya. Al-Nadwi membawa tentang sifat-sifat Ibn Taimiyyah yang menunjukkan beliau sebagai arif billah melalui kesaksian orangorang yang hidup sezaman dengannya. Al-Nadwi melihat Ibn Taimiyyah sebagai seorang sufi –arif billah – pendekatan seimbang dari golongan yang menuduh Ibn Taimiyah anti tasawuf dengan golongan mendewakannya.

Al-Nadwi juga membawa contoh-contoh ulama sufi yang gigih berdakwah dan mempunyai pengaruh yang kuat kepada masyarakat di India. Semua lapisan masyarakat mencintai dan berhubungan dengan mereka – para mursyidun dan pendakwah yang menyeru kepada ALlah dengan ikhlas dan jujur serta berpegang kepada amanah. Terbentang di seluruh negeri jaringan pusat-pusat kerohanian sehingga tidak ada negeri atau perkampungan kecuali terdapat sebuah atau beberapa pusat kerohanian di sana. Antara ulama sufi yang tersohor ialah Syeikh Mu’inuddin al-Ajmiri (m.627/1229M) yang mengasaskan tarekat al-Jathtisyah, Syeikh Ahmad bin Abdul Ahad al-Umri al-Sirhindi (m.1034H/1624M), Shah Waliyullah al-Dahlawi (m.1176H/1763M) dan Syeikh Ahmad Irfan al-Syahid. Al-Nadwi amat mengagumi tokoh-tokoh rabbani ini dan mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam dirinya.

Al-Nadwi berpendapat bahawa rahsia dari adanya keperibadian yang kuat pada setiap pergerakan jihad dan perjuangan menentang penjajahan adalah kerana kerohanian yang kuat. Menurutnya, perjuangan dan latihan, penyucian jiwa dan hubungan dengan ALlah ini melahirkan pada manusia, sesuatu yang menakjubkan seperti kerinduan, kasih sayang dan kecintaan. Keadaan ini terlihat dalam kehidupan mereka dan perhentian terakhir dalam perjalanan rohaniah yang panjang ini ialah kecintaan untuk gugur syahid. Ketika Tartar, Eropah dan Tentera Salib menyerang Dunia Islam, kaum Muslimin dari seluruh Dunia Islam bangkit melawan mereka. Di antara mereka terdapat sejumlah besar para Syeikh Tarekat dan tokoh sufi. Berkat latihan jiwa dalam menempuh jalan kenabian, telah lahir di dalam mereka kecintaan untuk mempertahankan Islam, kebencian terhadap kekufuran dan keinginan untuk gugur sebagai syuhada. Mereka ini adalah seperti Amir Abdul Qadir al-Jaza’iri ( m. 1893) di Algeria yang melawan penjajahan Perancis, Syeikh Ahmad al-Syarif al-Sanusi (m. 1933) di Libya dan Hasan al-Banna (m. 1949) di Mesir. Abdul Qadir al-Jaza’iri seorang ilmuwan, tokoh sasterawan, luhur pemikirannya dan sangat tekun di dalam bertasawuf. Dalam perkara tasawuf, beliau tidak cukup dengan teorinya sahaja tetapi harus dengan mengamalkannya. Diceritakan bagaimana beliau menggunakan waktu-waktunya di Damsyik. Setiap hari, beliau melakukan solat Subuh di Masjid berdekatan rumahnya. Tidak pernah ketinggalan dalam hal ini kecuali jika dia sakit. Beliau melakukan solat tahajud dan pada bulan Ramadan, dengan taat beliau melakukan latihan tarekat sufi. Beliau tetap menjadi teladan dalam kebaikan, ketakwaan dan akhlak yang mulia sehingga meninggal dunia pada tahun 1883M.

Hasan al-Banna adalah seorang pengasas gerakan dakwah di Mesir yang mempunyai pengaruh besar kepada dunia Islam. Antara ciri khusus yang ada pada peribadi Hasan al-Banna ialah pendidikan rohani, ibadat dan latihannya. Beliau bergabung dalam tarekat Hasafiah Syazaliah dengan menjalani berbagai kesibukan dan zikir tarekat sehingga akhir hayatnya. Antara ciri-ciri gerakan dakwah Ikhwan al-Muslimun seperti yang dinyatakan olehnya ialah: “Dakwah salafiah, tarekat sunniyah, hakikat sufiah, pergerakan politik, kelompok sukan, ikatan keilmuan, organisasi ekonomi dan pemikiran kemasyarakatan.

Hasan al-Banna adalah seorang pengasas gerakan dakwah di Mesir yang mempunyai pengaruh besar kepada dunia Islam. Antara ciri khusus yang ada pada peribadi Hasan al-Banna ialah pendidikan rohani, ibadat dan latihannya. Beliau bergabung dalam tarekat Hasafiah Syazaliah dengan menjalani berbagai kesibukan dan zikir tarekat sehingga akhir hayatnya. Antara ciri-ciri gerakan dakwah Ikhwan al-Muslimun seperti yang dinyatakan olehnya ialah: “Dakwah salafiah, tarekat sunniyah, hakikat sufiah, pergerakan politik, kelompok sukan, ikatan keilmuan, organisasi ekonomi dan pemikiran kemasyarakatan.

Al-Nadwi menegaskan bahawa tasawuf yang sebenarnya ialah yang dapat nenumbuhkan semangat perjuangan dan jihad. Namun ada segolongan yang menyimpang dari ajaran tasawuf yang sebenar dan ia bukanlah hukuman secara umum untuk mengharamkan tasawuf seperti sifat kemalasan, lari dari perjuangan, ahli-ahli tarekat yang memisahkan diri dan hamba kepada pemerintahan asing dan fasik. Sebenarnya imam-imam tasawuf dan syeikh-syeikh tarekat adalah mereka yang gigih berjuang, jihad, berperang dan istiqamah dalam kehidupan. Jika tasawuf berada dalam bentuknya yang asli dan benar, terjalin dengan jalan kenabian, mengibarkan obor keyakinan dan kecintaan yang merupakan tujuan paling penting dalam tawasuf, maka ia akan meniupkan jiwa bekerja, kerinduan untuk berjihad, keluhuran cita-cita dan keinginan untuk syahid. Oleh itu, harus diketahui perkara yang boleh diambil dari tasawuf dan perkara yang harus ditinggalkan. Tidak seorangpun yang mengingkari pengaruh tasawuf dan orang-orang sufi dalam kehidupan masyarakat Islam dan ramai yang memeluk Islam di tangan mereka.

Kehidupan kerohanian itu tidak membenci kemajuan dan kefahaman bahawa cara-cara tasawuf dan tarekat yang menghindarkan dari kehidupan, berkhalwat, menyendiri sehingga tidak mempedulikan lingkungan sekitarnya, tidak teratur pakaian dan rumah bukanlah kefahaman yang diajar oleh Islam. Islam mengajar kita memperolehi kebahagiaan dunia dan akhirat dan tidak mengharamkan perhiasan. Islam mendorong manusia untuk memperolehi kemajuan dunia dengan anjuran membaca, menuntut ilmu dan mengkaji. Semua ilmu milik ALlah untuk dijadikan sarana mencapai kebahagiaan.

Seruan supaya selalu mensucikan jiwa dengan kaedah-kaedah yang terdapat dalam al-Quran seperti dinyatakan dalam ayat di bawah merupakan seruan membersihkan jiwa dari tabiat dan tuntutan – tuntutan jiwa. Firman Allah:

فَقُلۡ هَلۡ لَّكَ اِلٰٓى اَنۡ تَزَكّٰ - وَاَهۡدِيَكَ اِلٰى رَبِّكَ فَتَخۡشٰ

Serta katakanlah kepadanya: `Adakah Engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? Dan mahukah, Aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintah-Nya)?’

Matlamat ihsan tidak dapat dicapai melainkan dengan mensucikan jiwa dan melatih hati untuk merasai makna-makna kecintaan, tawakal, ketakwaan, keredhaan dan keikhlasan kepada ALlah seperti yang dijelaskan oleh baginda S.A.W yang telah diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab dan Abu Hurairah:

ما الإحسان ؟ قال : أن تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Oleh itu, usaha mensucikan jiwa dan menanamkan hakikat maknamakna keimanan ke dalam hati adalah perbuatan baik yang sangat disuruh selama mana usaha tersebut masih lagi terikat dengan hukum-hukum syarak yang diambil dari al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama Muslimin. Tetapi ia akan menjadi perkara batil yang amat ditegah apabila bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu, al-Buti menegaskan elemen-elemen tasawuf telah wujud bersama dengan kelahiran Islam walaupun istilah tawasuf itu muncul kemudian sebagai suatu istilah baru.

Golongan sufi pada zaman Sahabat merupakan golongan yang sempurna dari segi pendidikan akal, kerohanian, jasad dan emosi. Mereka tidak cenderung kepada satu aspek dan meninggalkan aspek yang lain. Pemisahan ini berlaku apabila golongan ahli kalam yang mementingkan akal dan ahli fikah yang mengutamakan amalanamalan zahir. Di samping itu, timbul pada golongan yang mengejar kesenangan dunia. Di sinilah timbulnya, golongan sufi dan ahli tasawuf yang mementingkan amalan-amalan kerohanian. Di sinilah berlakunya pemisahan antara aspek-aspek tersebut sedangkan ulamak salaf menggabungkan unsur-unsur tersebut. Al-Qaradawi memperjuangkan agar unsur-unsur tersebut digabungkan sepertimana yang dinyatakan oleh Muhammad alGhazali tentang perlunya gabungan antara ahli tasawuf dan ahli fikah.

Muhammad al-Ghazali (m. 1996) menggesa umat Islam supaya memahami tasawuf secara betul. Tasawuf itu ialah suatu ilmu yang banyak memelihara dan memupuk unsur-unsur keislaman yang murni tetapi yang menyedihkan sekarang ilmu tasawuf ini telah diresapi oleh anasir-anasir yang mungkar dan pemikiranpemikiran asing yang bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara inilah yang menjadi sebab kelumpuhan yang menimpa pemikiran umat Islam dalam berbagai-bagai bidang kehidupan. Beliau juga memperjelaskan perlunya orang-orang Muslim berinteraksi dengan tasawuf dan fikah secara betul supaya memberi kesan kepada jiwa dan peningkatan sahsiah. Beliau menyebutkan bahawa para fuqaha sibuk dengan muamalat dan ibadat-ibadat yang zahir, manakala ahli tasawuf sibuk dengan akhlak dan tarbiyyah. Pada hal banyak dari kalangan mereka (ahli fikah) ketandusan kerohanian dan semangat. Sementara itu, banyak pula yang ketandusan ilmu untuk dijadikan pegangan dan undang-undang (iaitu dari kalangan ahli tasawuf). Natijahnya timbul kegoncangan dan kemelut dalam pemikiran Islam. Hal ini disebabkan kerana terpisahnya fikah daripada tasawuf atau terpisahnya tasawuf daripada fikah telah merosakkan umat sehingga terdapat orang-orang yang suka beribadat dan melakukan bid‘ah, tidak memiliki kesedaran dan ilmu pengetahuan. Manakala mereka yang sibuk dengan pelbagai rupa ibadat dan fikah, tidak memiliki kerohanian dan kekhusyukan.

Ahli-ahli sufi ini muncul pada ketika umat Islam dilanda masalah terpengaruh dengan keduniaan dan pola berfikir yang berasaskan kepada akal semata-mata. Di samping itu, perkembangan ekonomi dan peningkatan pendapatan masyarakat, mengakibatkan mereka terseret jauh dari apa yang dikehendaki oleh Islam yang sebenarnya dan ilmu agama menjadi falsafah dan ilmu kalam. Kebanyakan ulama fikah tidak lagi memperhatikan hakikat dari segi ibadat rohani. Mereka hanya memperhatikan dari segi lahirnya saja. Justeru itu muncul golongan sufi yang dapat mengisi kekosongan pada jiwa masyarakat dengan akhlak dan sifat-sifat yang luhur serta ikhlas. Hakikat dari Islam dan iman, semuanya hampir menjadi perhatian dan kegiatan dari kaum sufi.

Para tokoh sufi sangat berhati-hati dalam meniti jalan di atas garis yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan al-Sunnah; bersih dari berbagai fikiran dan praktik yang menyimpang, sama ada dalam ibadat atau fikirannya. Ramai orang yang memeluk Islam kerana pengaruh dan jasa mereka. Mereka telah mewariskan kekayaan peradaban dan ilmu, terutama di bidang makrifat, akhlak dan pengalaman-pengalaman di alam kerohanian. Tegasnya, semua sumbangan mereka itu tidak dapat diingkari.

Tetapi, ramai juga di antara orang-orang sufi itu terlampau mendalami tasawuf sehingga ada yang menyimpang dari jalan yang lurus dan mengamalkan teori di luar Islam. Ramai dari golongan Ahli Sunnah dan ulama salaf yang menjalankan tasawuf, sebagaimana diajarkan oleh al-Quran dan ramai pula yang berusaha meluruskan dan mempertimbangkannya dengan timbangan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Di antaranya ialah Ibn al-Qayyim yang menulis sebuah buku yang berjudul: “Madarij al-Salikin ila Manazil al-Sa’irin,” (Tangga bagi Perjalanan Menuju ke Tempat Tujuan). Dalam buku tersebut diterangkan mengenai ilmu tasawuf terutama di bidang akhlak. Kitab tersebut adalah kitab yang paling baik bagi pembaca yang ingin mengetahui masalah tasawuf secara mendalam. Setiap manusia boleh mengambil pandangannya dan boleh juga mengetepikan pandangan tersebut kecuali ketetapan al-Qur’an dan Sunnah RasuluLlah S.A.W. Kita dapat mengambil dari ilmu para sufi bahagian yang murni dan jelas, seperti ketaatan kepada ALlah, cinta kepad sesama makhluk, mengetahui akan kekurangan yang ada pada diri sendiri, mengetahui tipu muslihat dari syaitan dan pencegahannya, serta perhatian mereka dalam meningkatkan jiwa dan mengingatkan hari Akhirat. Di samping itu, menjauhi perkara-perkara yang menyimpang dan berlebih-lebihan sebagaimana diterangkan oleh Imam al-Ghazali. Melalui ulama ini, dapat diketahui tentang banyak perkara terutama ilmu akhlak, penyakit jiwa dan mengubatnya. Tasawuf sememangnya ada dalam Islam melalui proses pembersihan jiwa dan pendidikan akhlak. Di antara perkara-perkara yang menyimpang dalam tasawuf ialah:

  1. Adanya perasaan dan ilham sebagai ukuran untuk dasar pengetahuan dan lain-lain; juga dapat dijadikan ukuran untuk membezakan antara yang benar dan salah. Sehingga ada yang berkata, “Aku diberitahu oleh hati dari Tuhanku (Allah).” Berbeza dengan ungkapan dari ahli Sunnah bahawa apabila mereka meriwayatkan ini dari si Fulan, si Fulan sampai kepada RasuluLlah S.A.W.
  2. Membezakan antara syariat dan hakikat, antara hukum Islam dan yang bebas dari hukumnya. Perbezaan antara syariat yang disampaikan oleh Nabi S.A.W dengan hakikat yang diperolehi melalui kasyaf. Bagi mereka, kategori pertama untuk orang awam dan kategori kedua untuk orang-orang istimewa. 
  3. Dikuasai oleh fahaman Jabariah dan Salabiah, sehingga dapat mempengaruhi iman dan akidah mereka, di mana manusia bebas mengendalikannya. Maka tidak perlu lagi melawan dan selalu bersikap pasif dan tidak aktif.
  4. Tidak menghargai dunia dan perkembangannya. Perkara ini bertentangan dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang menyuruh kita mengambil kesenangan dunia dan akhirat dengan seimbang.
  5. Kedudukan seseorang murid dalam pendidikan mereka hanyalah mengikut telunjuk guru tanpa boleh bertanya dan menyoal seperti

mayat di hadapan orang yang memandikannya.

Dalam penyimpangan golongan sufi ini, Ibn Taimiyah memberi komentar dalam menjawab atas pertanyaan, “Bagaimana pandangan ahli agama mengenai tasawuf?” Ibn Taimiyah memberi jawapan berikut, “Pandangan orang dalam masalah tasawuf ada dua iaitu sebahagian termasuk ahli fikah dan ilmu kalam mencela dan menganggap para sufi itu ahli bida’ah dan di luar sunnah Nabi S.A.W. Sebahagian lagi terlalu berlebih-lebihan dalam memberikan pujian dan menganggap mereka paling baik dan sempurna di antara manusia setelah Nabi S.A.W. Kedua-duanya tidak benar. Perkara yang benar ialah bahawa mereka ini sedang dalam usaha melakukan pengabdian kepada ALlah, sebagaimana usaha orang-orang lain untuk mentaati ALlah S.W.T. Dalam keadaan tersebut, di antara mereka, ada yang cepat sampai dan dekat kepada ALlah, orang-orang ini dinamakan minal muqarrabin (orang-orang yang terdekat dengan ALlah), sesuai dengan pengorbanannya, ada pula yang ketaatannya adalah sederhana. Di antara golongan itu ada yang salah dan berdosa. melakukan taubat, ada pula yang tetap tidak bertaubat. Perkara yang lebih sesat lagi adalah orang-orang yang melakukan kezaliman dan kemaksiatan, tetapi menganggap dirinya orang-orang sufi. Masih ramai lagi dari ahli bida’ah dan golongan fasik yang menganggap dirinya golongan tasawuf, yang ditolak dan tidak diakui oleh tokohtokoh sufi yang benar dan terkenal seperti al-Junaid dan lain-lainnya.

Al-Nadwi tidak menafikan kehidupan rabbaniah yang bersesuaian dengan nilai-nilai Islam dan menegaskan keperluan umat Islam kepada penyucian diri. Menurut al-Nadwi, ada perkara yang boleh diambil dari tasawuf dan ada perkara yang patut ditinggalkan. Tidak seorangpun yang mengingkari jasa dan sumbangan tasawuf dan ahli-ahli dalam menyebarkan dakwah dan ramai yang telah memeluk Islam melalui mereka. Menurut al-Nadwi, rabbaniah yang dimaksudkan ialah rabbaniah yang bersih, jelas tujuannya, terang jalannya dan lurus berdasarkan perintah ALlah. Ia juga mengikuti sunnah dan meneliti jalan salafus soleh serta jauh dari bida’ah sehingga jiwa mereka menjadi bersih, perasaan menjadi hidup, iman menjadi baru, menjadi soleh, akhlak menjadi unggul dan hakikat manusia menjadi subur. Rabbaniah ini bukanlah satu kehidupan yang mengasingkan diri.

Dalam hal ini, terdapat golongan salafiah yang terlalu bersikap anti tasawuf dengan menganggap tasawuf bukan dari ajaran Islam dan menuduh semua penganutnya adalah pelaku-pelaku bida’ah. Oleh itu, para ulama seperti Mubarak Mubarak dan al-Qaradawi menyarankan agar mensufikan golongan salaf dan mensalafikan golongan sufi. Inilah yang pernah dilakukan oleh Hassan al-Banna dalam mengharmonikan kedua-dua pihak. Manakala al-Nadwi menyarankan kembali kepada asas penyucian jiwa yang merupakan salah tujuan tugas para rasul dan menggunakan fiqh al-Batin atau tazkiyyah al-Nafs jika tidak menyukai istilah tasawuf. Al-Nadwi memperbetulkan anggapan bahawa tawasuf dan tarekat membawa kepada kemalasan malah mereka adalah orang yang gigih berjihad, berdakwah dan syahid dalam peperangan. Kekuatan ini lahir dari latihan dan kehidupan kerohanian yang dihayatinya.[1]

AMALAN YANG MENYUBUR KEHIDUPAN RABBANIAH

  1. Memperbanyak membaca al-Quran dengan tadabur. Bacaan yang disertai dengan memahami makna mampu mempertajamkan pandangan yang sudah tumpul dan ubat bagi hati yang sedang sakit. Apabila seorang mukmin selalu membaca al-Quran dengan tenang, tadabbur dan khusyuk, maka akan terbukalah belenggu-belenggu yang meliputi hatinya dan akan terpancar pula cahaya al-Quran di dalam jiwanya. RasuluLlah S.A.W selalu membaca al-Quran sebagai rutin hariannya dan berdoa agar al-Quran itu menjadi taman hatinya, cahaya bagi pandangannya, penghapus duka dan pelenyap kebimbangan.[1]
  2. Hidup bersama RasuluLlah S.A.W melalui sirahnya yang harum semerbak. Hal ini kerana Nabi S.A.W adalah contoh teladan dan pemimpin yang sempurna bagi umat manusia sepanjang masa. Nabi .A.W dapat menyatukan agama dan dunia, ibadat dan kehidupan, tazkiyyah al-nafs dan jihad. Semua itu dilakukan dengan sempurna dan tidak ada kekurangan dari mana-mana sudut. Oleh itu, perlu kita perlu mencontohi ibadat, kezuhudan, ketakwaan dan kesabaran Nabi S.A.W serta keteguhannya mempertahankan prinsip.
  3. Sentiasa bergaul dan bersama orang-orang berhati bersih dan mengenal ALlah. Islam menyarankan agar kita sentiasa menyertai dan bergaul dengan orang-orang yang benar iaitu orang yang berhati bersih dan mengenal Allah, di samping mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar kerohanian mereka; malah, untuk mendapat kegigihan mereka dalam ketakwaan dan perkara-perkara yang bermanfaat bagi agama, dunia dan akhirat.
  4. Zikir kepada ALlah pada setiap waktu dan keadaan. Al-Quran dan hadis banyak memerintahkan agar sentiasa berzikir pada setiap waktu dan keadaan. Maksud zikir ialah merasakan keagungan Allah dalam semua keadaan. Zikir tersebut boleh berbentuk zikir fikiran, hati, lisan dan perbuatan. Zikir perbuatan seperti tilawah, ibadat dan keilmuan. Sementara zikir lisan ialah dengan menyebut nama-nama-Nya, berdoa dan amalan yang mathur yang diriwayatkan secara sahih dari Nabi S.A.W.
  5. Menangis kerana takut kepada ALlah ketika bersendirian. Seseorang yang bersendirian dengan Tuhannya, ia akan bermuhasabah dan mengingati kembali dosa-dosanya yang dilakukan serta membandingkan dengan amalan-amalan generasi Sahabat yang terdahulu. Hal ini akan menyentuh hatinya, jiwanya bergetar dan air matanya akan berlinangan. Antara kelebihan menangis kerana takut kepada ALlah ialah mereka akan berada dalam naungan ALlah di hari akhirat, terbebas dari azab ALlah, sentiasa dalam limpahan cinta kasih Ilahi dan berada dalam keampunan-Nya.
  6. Bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat-ibadat sunat. Orang mukmin yang hendak dekat dengan ALlah hendaklah membiasakan diri dan gigih dalam melakukan ibadatibadat sunat pada setiap kesempatan waktu siang ataupun malam seperti solat-solat sunat, puasa sunat, bersedekah dan melakukan umrah. Oleh itu, orang-orang yang selalu melaksanakan ibadat-ibadat sunat ini akan mendapat pahala dan meniti tangga kesempurnaan serta menuju tahap kerohanian dan penyucian jiwa yang tinggi.

Itulah sebahagian faktor-faktor yang menyuburkan dan memberi kekuatan kerohanian kepada seseorang mukmin dalam menempuh kehidupan kerohaniannya. Mereka yang sentiasa melakukan perkaraperkara tersebut, nescaya jiwa mereka akan memancar cahaya yang bersih, hati mereka akan menjadi sumber keikhlasan dan roh akan mencapai tahap ketinggian. Malah mereka mampu memberi kepada orang lain yang memerlukannya, para murid yang berguru dengan mereka atau setiap orang yang bertemu dengan mereka.

Tujuh aspek dalam kehidupan rabbaniah dalam Islam iaitu:

  1. Berasaskan tauhid kepada ALlah iaitu keesaan kepada ALlah yang mutlak dan hanya ALlah yang layak disembah. Kehidupan kerohanian seperti yang dihendaki Islam berteraskan kepada tauhid yang murni. Ia terdiri dari empat unsur terpenting iaitu i) Tidak boleh mencari tuhan selain ALlah, ii) Tidak boleh menjadikan selain ALlah sebagai pelindung, iii) Tidak boleh menjadikan selain ALlah sebagai penentu hukum, iv) Tidak boleh menjadikan selain ALlah sebagai tujuan.
  2. Itba’: ia perlu berdasarkan kepada syariat Ilahi, bukan bentuk kerohanian berdasarkan kehendak sendiri dan melampau. Ia merupakan kehidupan yang sesuai dengan hukum-hukum syariat Ilahi. Hubungan kerohanian tersebut mesti berdasarkan kepada ibadat itu harus kepada ALlah semata-mata, tidak ada sekutu kepada-Nya dan tidak boleh beribadat kecuali menurut ketetapan syariat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini kerana dasar dalam perkara ibadat memerlukan dalil teks yang membenarkannya berbeza dasar dalam muamalat dan urusan dunia yang dibolehkan selagi tidak ada teks syariat yang mengharamkannya.
  3. Lengkap Islam dan ialah penyatuan: menyatukan Kehidupan rabbaniah antara kehidupan dalam kerohanian dengan dengan kehidupan material, menyatukan antara keperluan ruh dengan jasad. Tidak ada pemisahan dan perlawanan antara kedua-dua aspek tersebut. Kehidupan kerohanian bagi seorang Muslim merupakan kehidupan yang membentang luas, mendalam dan menyeluruh dan tidak cuma terbatas di masjid dan ketika melaksanakan ibadat wajib.Ketika melaksanakan pekerjaan berbentuk keduniaan seperti bercucuk tanam, berniaga dan berurusan di pejabat, ia tidak terlepas dari kehidupan kerohanian kerana ia dituntut merasakan pengawasan ALlah terhadap pekerjaannya sehingga ia harus jujur dan tekun, tidak boleh menipu, khianat dan melakukan kezaliman.
  4. Kesinambungan: Ibadat-ibadat dalam Islam perlu dilakukan secara berterusan dalam setiap waktu yang telah ditentukan. Ada ibadat yang perlu dilakukan secara harian seperti solat lima fardu, ada yang perlu dilakukan secara mingguan seperti solat Jumaat dan ada yang wajib dilakukan hanya sekali dalam hidupnya iaitu menunaikan haji bagi orang yang berkemampuan. Kehidupan kerohanian akan mengiringinya dalam setiap keadaan dan sepanjang waktu hidupnya sehingga ia bertemu ALlah. Dalam keadaan peperangan, seorang Muslim tetap mendirikan solat menurut kemampuannya dan disarankan berzikir pada setiap waktu tanpa ada batasan sama ada berdiri, duduk atau melentang, sihat atau sakit.
  5. Kemudahan dan kelapangan: ia merupakan kehidupan yang berteraskan kepada kemudahan dan sederhana. Tidak membebankan manusia dengan beban yang di luar batasan kemampuannya.
  6. Kesederhanaan dan seimbang: Ia berasaskan kepada keseimbangan dan sederhana, tidak berlebih-lebihan dalam satu aspek dan meninggalkan aspek yang lain. Islam tidak menuntut seorang Muslim untuk mengasingkan diri dari kehidupan untuk beribadat atau berada di masjid sematamata seperti pendeta. Islam mengingkari orang-orang yang mencipta sendiri kehidupan kerohanian kemudian ia tidak mengaturnya dengan sempurna. RasuluLlah S.A.W juga menegur para Sahabatnya yang berlebih-lebihan dalam beribadat atau berzuhud seraya menjelaskan kepada mereka jalan pertengahan dan manhaj seimbang dan itulah manhaj baginda S.A.W yang perlu diikuti.
  7. Kepelbagaian: Ibadat dalam Islam ada yang berupa perkataan seperti berzikir dan membaca al-Quran, ada yang berbentuk perbuatan seperti mendirikan solat, dan ada yang harus ditinggalkan seperti puasa Ramadan bagi orang yang bermusafir dan orang sakit. Ibadat dalam Islam ada yang berkaitan dengan jasmani dan badan seperti solat, puasa dan jihad dengan jiwa, ada yang memerlukan harta seperti zakat, sedekah dan berjihad dengan harta; ada ibadat yang memerlukan kedua-dua aspek tersebut iaitu menunaikan haji. Ibadat-ibadat Islam ada yang wajib seperti pelaksanaan ibadat wajib yang diperintahkan dan ada pula perkara sunat yan dianjurkan. Tidak diragukan bahawa perkara berkaitan wajib perlu didahulukan dari perkara sunat. Ada juga perkara kerohanian yang dikhususkan untuk satu anggota badan iaitu lidah. Secara sendirian lidah boleh melaksanakan tasbih, tahmid, takbir, doa, membaca al-Quran, berselawat dan menyuruh kepada maaruf dan mencegah kemungkaran. Ada juga dikhususkan untuk tangan seperti menulis ilmu yang bermanfaat dan mencari nafkah yang halal. Ada pula amal-amal hati seperti ikhlas, cinta, tawakal, zuhud dan lain-lain yang terdapat pada diri orang-orang soleh. Medan kegiatan kerohanian itu amat luas dan banyak jenisnya. Orang mukmin yang berpengetahuan boleh memilih perkara yang sesuai untuk dirinya. Ibadat yang paling baik bagi setiap manusia adalah yang paling sesuai dengan keadaan dan kemampuannya.

Umat Islam perlu mengambil kehidupan rabbaniah berdasarkan kehidupan RasuluLlah S.A.W yang mulia, RasuluLlah sebagai seorang ahli ibadat dan zuhud, RasuluLlah sebagai sebagai seorang bapa yang pengasih, sebagai seorang insan biasa, sebagai seorang pemimpin negara, sebagai seorang tetangga dan sahabat yang baik dan sebagai seorang panglima tentera.

Oleh itu, tasawuf adalah kaedah pendidikan kerohanian dan perilaku yang membentuk seorang Muslim sehingga mencapai tingkat ihsan. Tasawuf adalah program pendidikan yang menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa manusia daripada seluruh penyakitpenyakitnya yang menjauhkan manusia dari ALlah S.W.T dan membetulkan perilaku yang menyimpang dalam segala hal yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan ALlah S.W.T, hubungan sesama manusia dan dengan ego diri. Jiwa manusia pada tabiatnya merupakan tempat yang di dalamnya terhimpun pelbagai penyakitpenyakit seperti sombong, bangga diri, angkuh, kedekut, marah, dorongan maksiat dan derhaka, hasrat memuaskan diri, membalas dendam, benci, dengki, menipu, dan tamak. Sifat-sifat tersebut perlu dikikis melalui pendidikan kerohanian dan dihiasi dengan sifat-sifat yang mulia. Tasawuf adalah warisan pendidikan akhlak dan pembentukan tingkah laku yang berdasarkan iman yang tidak boleh diabaikan sepertimana peninggalan fikah untuk mengetahui hukum-hukum yang ada. Semua orang memerlukan pendidikan iman yang benar yang membersihkan hati mereka dari kecintaan kepada dunia dan mencintai diri sendiri lalu diri mereka menuju ALlah dan membebaskan diri dari perhambaan kepada hawa nafsu. Dengan cara inilah akal mereka akan menjadi bersih dari syirik, hati bersih dari kemunafikan, lidah bersih dari dusta, mata bersih dari khianat, perkataan bersih dari perkara yang melalaikan, ibadat bersih dari riya’, pergaulan bersih dari penipuan dan kehidupan bersih dari sifat berlawanan.Mereka memerlukan kehidupan rabbaniah yang suci, untuk mengangkat mereka dari penyembahan syaitan kepada pemyembahan kepada ALlah, dan untuk mengalihkan mereka dari penyembahan kepada dunia, dinar dan dirham kepada kemuliaan mencari akhirat. Mereka memerlukan kebenaran bersama al-Haqq dan akhlak bersama manusia. Inilah intisari tasawuf atau juga disebut takwa kepada ALlah dan Ihsan kepada makhluk-Nya. Rabbaniah yang bersih itu jelas tujuannya, berdasarkan perintah ALlah dan alSunnah, meniti jalan orang-orang salaf, jauh dari bida’ah perkataan dan perbuatan, penyimpangan akidah dan tingkah laku, roh menjadi tinggi, jiwa menjadi bersih, perasaan menjadi hidup, iman menjadi baru, amal menjadi soleh, akhlak menjadi unggul dan hakikat kemanusiaan menjadi subur.

Para ulama salaf juga menyebutkan bahawa seorang alim itu tidak dinamakan sebagai rabbani sehingga ia melengkapi empat peringkat jihad melawan nafsu iaitu jihad melawan nafsu untuk mempelajari ilmu dan agama yang benar, jihad melawan nafsu untuk mengamalkannya, jihad melawan nafsu untuk berdakwah ke arahnya dan mengajarkannya, jihad melawan nafsu untuk bersabar menanggung bebanan dakwah kepada Allah.[1]

Lihat pula

Referensi

Petikan

  1. ^ a b c d e f g Ghazali, Mohd Rumaizuddin (2019). "Pemikiran Tasawuf Dan Kehidupan Kerohanian Menurut Abu Hasan Ali Al-nadwi". AL-ABQARI: Journal Of Islamic Social Sciences And Humanities. 8 (1): 121–142. ISSN 2504-8422.    Text was copied from this source, which is available under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.

Bibliografi

  • Zamzam, Ahmad Fahmi (2000). Abul Hasan Ali Al-Hasani an-Nadwi. Pokok Sena: Khazanah Banjariah. 
  • Zamzam, Ahmad Fahmi (1992). Sejarah Perkembangan Islam di India. Pokok Sena: Khazanah Banjariah. 
  • Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail (1987). Al-Jami’i al-Sahih alMukhtasar. Beirut: Dar Ibn Kathir. 
  • Al-Buti, Muhamad Said Ramadan (2005). al-Salafiah Marhalah zamaniah Mubarakah la Madhhab Islami. Damsyik: Dar al-Fikr. 
  • Al-Ghazali, Muhamad (1992). al-Sunnah al-Nabawiyyah bayn ahl Fiqh wa ahl al- Hadith. Kaherah: Dar al-Shuruq. 
  • Al-Ghuri, Abdul Majid (1999). Abu al-Hasan ‘Ali al-Hasani alNadwi al-Imam al-Mufakkir al-Da’iyyah al-Adib. Damsyik: Dar Ibn Kathir. 
  • Al-Nadwi, Abu Hasan Ali (1996). Rabbaniah La Rahbaniah. Lucknow: al-Majma al-Islami al-Ilmi. 
  • Al-Nadwi, Abu Hasan Ali (1998). Sira’ Bayna al-Fikrah al-Islamiah wa Fikrah alGharbiah. Lucknow: al-Majma al-Islami al-Ilmi. 
  • Al-Nadwi, Abu Hasan Ali (1999). Madha Khasira al-Alam bin Khitat al-Muslimin. Damsyik: Dar Ibn Kathir. 
  • Al-Nadwi, Abu Hasan Ali (1990). Ila al-Islam min Jadid. Kaherah: al-Mukhtar al-Islami. 
  • Al-Qaradawi, Yusuf (1990). Fatawa al-Mu‘asarah. Kaherah: Dar al-Qalam. 
  • Al-Qaradawi, Yusuf (1995). al-Hayat al-Rabbaniah wa al-Ilmi. Kaherah: Maktabah Wahbah. 
  • Al-Qaradawi, Yusuf (2001). Shaykh Abu al-Hasan al-Nadwi kama’Araftuhu. Damyik: Dar al-Qalam. 
  • Yasin, Mohd Sulaiman Hj (1993). Pengenalan Tamadun Islam Konsep Kerohanian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. 
  • Salmani, Turki Abdul Majid (2004). Al-Fikr wa al-Suluk al-Siyasi inda Abi al-Hasan al-Nadwi. Damsyik: Dar al-Qalam. 
  • Ulwan, Nasih (2010). Salsilah Madrasah al-Du’at. Kaherah: Dar alSalam.