Hakim an-Naisaburi

Revisi sejak 25 Oktober 2009 19.43 oleh Alfarq (bicara | kontrib)

Hakim al-Naisaburi adalah salah seorang imam di antara ulama-ulama hadits dan seorang penyusun kitab yang terkemuka di zamannya. Namanya adalah Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Muhammad ibnu Handawaihi bin Nu'aim al-Dhabbi al-Thahmani al-Naisaburi (321 H/933 M - 405 H/1014 M) yang juga terkenal dengan gelaran Ibnu al-Baiyi' dan al-Hakim.

Pada peringkat awal, ia mendapat didikan awal ilmu agama dari ayah dan bapak saudaranya, kemudian beliau berguru pula kepada Abu Hatim bin Hibban pada tahun 334 H. Ia juga dikatakan telah belajar ilmu fiqh kepada seorang ulama besar di Naisabur, yaitu Ali bin Sahal Muhammad bin Sulaiman al-Shaluki al-Syafi'i.

Setelah itu pada tahun 340 H, ia berhijrah meninggalkan kampung halamannya menuju Iraq. Di sana beliau mempelajari ilmu hadith daripada Ali bin Ali bin Abi Khurairah, seorang faqih yang terkenal. Seterusnya selepas menunaikan ibadah haji, beliau kemudian bersafar mencari ilmu ke bumi Khurasan dan negara-negara lain, beliau telah membulatkan tekadnya untuk mencari dan mengumpulkan hadith, hingga di katakan beliau telah mendengar hadith dari sejumlah besar para ulama, dan menurut riwayat guru-gurunya berjumlah sekitar 1000 orang.

Terdapat banyak para ahli ilmu yang meriwayatkan hadith daripadanya, antaranya Daruquthni, Abi Bakar Al-Qaffal Al-Syasy dan teman-temannya. Selain itu beliau juga menghasilkan karya gemilang berbentuk penulisan dalam pelbagai jenis ilmu. Antara kitab-kitab karyanya ialah: Ma’rifat ‘Ulum Al-Hadits, Al-Madkhal ‘ala ‘ilmi Al-Sahih, Al-Mustadrak ‘ala Al-Shahihain, Fadhail Al-Imam Al-syafi’iy, Al-Amali dan lain-lain.

Beliau sentiasa bermuzakarah dan bermuhadharah bersama para ulama hadith, bahkan beliau juga pernah bermubhahasah dengan Daruquthni. Ia juga pernah dilantik sebagai hakim di Naisabur pada tahun 359 H, lantaran itulah beliau terkenal dengan nama Al-Hakim.

Ia dilahirkan di Naisabur pada pagi Jumat, bertepatan dengan 3 Rabiul Awal pada tahun 321 H; dan wafat juga di Naisabur pada tahun 405 H.