Puisi
Pengertian Puisi
Puisi Melayu merupakan satu genre sastera yang dominan di dalam perkembangan kesusasteraan Melayu, jika dibandingkan dengan genre sastera Melayu yang lain seperti cerpen, novel dan drama. Puisi juga merupakan genre yang begitu kuat perkaitannya dengan kehidupan masyarakat Melayu. Proses penciptaan puisi juga begitu akrab dengan budaya masyarakat Melayu. Sesebuah puisi yang dicipta ia tidak akan lahir tanpa sebab dan akibatnya. Sebagai sebuah karya hasil ciptaan manusia, puisi tidak dapat melepaskan dirinya dari proses perubahan dan pematangannya, daripada satu tahap ke satu tahap, dari tahap tradisional kepada tahap moden. Keadaan ini jelas kelihatan pada perubahan atau pematangan yang berlaku terhadap puisi Melayu moden. Puisi Melayu moden berubah dari proses pematangan dari puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair dan juga gurindam. Keadaan ini dapat dilihat kepada puisi Melayu moden pada peringkat awal penerbitannya. Puisi-puisi tersebut masih begitu akrab dengan pola-pola pantun dan juga syair yang begitu teguh mengekalkan rima abab dan aaaa. Ramai kalangan pengkaji dan sarjana sastera Melayu menyatakan bahawa perkembangan puisi Melayu moden bermula pada tahun 1933 dengan tersiarnya puisi Pungguk `Di Tengah Segara' yang terbit di dalam Majalah Guru, Disember 1933. Namun begitu pada tahun 1913 puisi Omar Mustaffa yang bertajuk `Angan-angan Dengan Gurindam' telah tersiar di dalam akhbar Teknik dan isi puisi `Angan-angan dengan Gurindam' ini ternyata telah jauh menyimpang dari pantun dan syair. Selain dari itu persoalan yang diungkapkan di dalam puisi tersebut juga telah melepaskan dirinya dari persoalan diri sendiri. Puisi ini telah membincangkan persoalan ekonomi orang-orang Melayu yang pada ketika itu, jauh ketinggalan di dalam bidang ekonomi. Di dalam puisi ini juga dibincangkan tentang keadaan bangsa asing yang begitu menguasai perusahaan bijih timah dan getah di Tanah Melayu. Juga disebutkan tentang dua orang jutawan Cina iaitu Loke Yew dan Chow Kit yang telah kaya-raya ketika itu. Omar Mustaffa juga di dalam puisi ini telah menyeru orang Melayu supaya segera memajukan diri mereka di dalam bidang ekonomi dengan mengambil contoh yang dilakukan oleh orang asing dengan seruan; bangkitlah! bangkit! Keadaan ini jelas kelihatan di dalam puisi tersebut. Puisi di atas dari segi tekniknya telah membebaskan dirinya dari pola abab dan aaaa seperti yang terdapat di dalam bentuk pantun dan syair. Selain dari itu jumlah suku katanya tidak terikat kepada suku kata pantun dan syair iaitu di dalam 8-12 suku kata. Dari segi bentuk juga ia telah membebaskan dirinya dari pantun dan syair dengan keseluruhan puisi ini hanya terdiri daripada satu rangkap. Namun begitu apa yang berlaku kepada Omar Mustaffa selepas puisi `Angan-angan dengan Gurindam' ini beliau tidak meneruskan pengkaryaannya. Begitu juga dengan puisi-puisi lain yang tidak muncul selepas penerbitan, karyanya ini. Karya puisi lain muncul pada bulan April tahun 1926 iaitu dengan puisi `Jawab kepada Melur' melalui Majalah Guru yang ditulis oleh seorang penulis yang menggunakan nama samaran Kumbang. Puisi ini masih mengekal pola pantun abab walaupun persoalannya telah membincangkan persoalan kemasyarakatan iaitu masalah poligami. Seperti Omar Mustaffa, Kumbang tidak meneruskan sumbangannya terhadap perkembangan puisi Melayu Moden di Malaya. Sejak tersiarnya puisi `Angan-angan Dengan Gurindam' karya Omar Mustaffa pada tahun 1913, puisi Melayu terus berkembang sehingga sekarang. Puisi Melayu telah mengalami perubahan terutamanya dari segi bentuknya. Dari bentuk yang masih kuat dipengaruhi oleh puisi Melayu tradisional ia telah berubah kepada bentuk puisi moden yang tidak lagi terikat kepada pola-pola pantun dan syair. Dari tarikh tersebut itu puisi Melayu telah melalui tahun 20-an, 30-an, 40-an, 50-an dan sehingga sekarang puisi Melayu juga telah mengalami perubahan tema dan persoalan yang berbagai. Penyair-penyair yang menulis puisi di akhir tahun 1950-an masih ada yang masih menulis puisi sehingga sekarang. Ketahanan penyair-penyair seperti A. Samad Said, Suhaimi Haji Muhammad, Jihaty Abadi dan Affrini Adham adalah disebabkan oleh kerana kekuatan mereka untuk terus berkarya dan tahan uji. Ketahanan seseorang penyair untuk terus berkarya banyak bergantung kepada keupayaan mereka mengharungi pertembungan-pertembungan di dalam pengkaryaannya. Hanya penyair yang mampu menghadapi pertembungan-pertembungan di dalam pengkaryaan ini mampu bertahan lama.