Masjid Al-Azim
Masjid Al-Azim | ||
---|---|---|
Berkas:Azim.gif | ||
Daftar masjid di Melaka | ||
Nama | Masjid Al-Azim | |
Daerah | Melaka Tengah | |
Imam 1 | ||
Imam 2 | ||
Bilal 1 | ||
Bilal 2 | ||
Bendahari | ||
Alamat | ||
Masjid Al-Azim Kompleks Al-Azim Fasa II, Bukit Palah,75150 Melaka. |
Masjid Al-Azim merupakan sebuah masjid yang terletak dalam daerah Melaka Tengah, Melaka.
Masjid Negeri Melaka yang terletak kira-kira 3 kilometer dari bandar Melaka ini mula dibina pada 14 Mac 1984 dan siap sepenuhnya serta mula digunakan pada 12 Januari 1990. Projek pembinaannya yang menelan belanja sebanyak RM 19.5 juta itu telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Azlan Shah pada 13 Julai 1990 M bersamaan 20 Zulhijjah 1410 H.
Profil Masjid
- Muatan jemaah : 11,700 orang.
- Tinggi dari tapak ke kemuncak : 135.11 kaki
- Tinggi menara : 188.0 kaki
- Jarak antara tiang : 105.0 kaki
- Panjang rusuk utama : 5 X 5 X 60-105 kaki
- Tinggi tiang : 45.6 kaki
- Tinggi struktur bumbung : 110.0 kaki
Senibina
Rekabentuk
Model Masjid Al-Azim ini disediakan oleh sebuah Jawatankuasa Rekabentuk yang mengambil kira aspek keunikan senibina tradisi Melayu dan seniukir Islam. Sesuai dengan keunikannya itu, ia dapat dilihat dari 2 sudut luaran dan dalaman
Luaran Tapak
Berbentuk segiempat yang disesuaikan dengan bumbung tiga tingkat yang juga sama bentuknya. Ilham ini berdasarkan bentuk masjid pertama yang dibina oleh nabi Muhammad s.a.w. Ianya selaras dengan hakikat Islam itu sendiri yang terdiri dari empat unsur utama. Iaitu tapaknya melambangkan syariat (Perundangan Islam), tingkat pertama melambangkan tariqat (jalan mendekati Allah ) tingkat kedua melambangkan haqiqat (mencari kebenaran Allah ), tingkat ketiga melambangkan makrifat (Mengenal Allah ) dan puncaknya yang berukir-ukir digantikan dengan Dom.
Atap
Tingkat bawah atap berwarna hijau tua yang menuju ke arah sebuah dom berwarna kuning di bahagian atas puncaknya. Ianya menjelaskan tentang sesuatu permohonan hamba yang mengharapkan penerimaannya oleh Allah S.W.T.
Menara
Sebuah menara setinggi 188 kaki (57.3m) dibina berbentuk segi lima yang berfalsafahkan Rukun Islam. Asalnya dijadikan tempat bilal melaungkan azan bagi menandakan masuk waktu sembahyang. Jika dilihat dari jauh pula, ia lebih nyata sebagai satu mercu tanda masjid.
Sulurbayung
Setiap hujung tulang bumbung masjid ini terdapat sulurbayung yang melambangkan satu ciri keistimewaan terhadap keindahan senibina Melayu. Ilham terciptanya sulurbayung ini diambil dari sejenis tumbuhan liar di tepi sungai. Ianya menggambarkan genggaman tangan semasa bertahhiyat.
Seni Taman
Direka khas untuk mewujudkan keindahan persekitaran masjid supaya lebih cantik dan menarik.
Ruang Dalaman
Tingkat atas seluas 4,125 kps (383.21 mps) dikhaskan untuk wanita 700 seramai orang. Ianya dikelilingi oleh pagar besi berukir yang cantik dengan unsur Islam . Tingkat bawah pula meliputi ruang seluas 57,600 kps (5,351 mps) yang boleh menampung seramai 9,700 orang jemaah lelaki. Ianya luas dan selesa kerana tidak diganggu oleh tiang-tiang kecil. Sebanyak 3 batang tiang besar dibina pada setiap empat penjuru masjid ini bagi mengukuhkan binaan bumbungnya.
Mihrab
Dibina berhadapan dengan dewan sembahyang utama yang menandakan arah qiblat yang mengarah ke Baitullah, Mekah. Juga dijadikan tempat imam memimpin solat Jumaat. Ianya dibina dari batu marmar yang diimport dan dihiasi dengan kepingan logam berukir mengikut unsur Islam.
Mimbar
Terletak di sebelah kanan mihrab yang dihiasi dengan awan larat yang cantik dan mempunyai nilai seniukir tempatan yang tinggi.Kayu cengal yang terbaik dipilih untuk membuat mimbar setinggi 15 kali ( 4.57m) dengan kelegaan seluas 4.5 kps (1.37 mps) untuk ruang khatib membaca khutbah Jumaat.
Bilik Mesyuarat/Bilik Imam
Imam sebagai tenaga penggerak utama di sesebuah masjid untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu berkaitan dengan umat Islam setempat. Bilik tersebut dibina berhampiran dengan mihrab dan mimbar yang disediakan sebuah pintu keluar masuk. Manakala bilik mesyuarat pula dibina sederet dengan bilik imam bagi memudahkan urusan pentadbiran masjid ini.
Khat Ayat al-Quran
Beberapa potong ayat al-Quran telah dipilih dan diukir dengan tulisan khat yang menarik. Pemilihan ayat tersebut pula disesuaikan dengan konsep dan falsafah pembinaan masjid ini.
Anjung dan Beranda
Merupakan satu ruang lapang yang berdinding dan bersambung dengan beranda sepertimana bentuk rumah masyarakat Melayu Melaka. Juga berfungsi sebagai tempat sembahyang di samping untuk kegunaan lain mengikut keperluan semasa.
Bilik Wuduk dan Bilik Persalinan
Dibina dua tingkat secara berasingan antara lelaki dan perempuan sepertimana yang dituntut oleh ajaran Islam yang melarang pergaulan bebas. Bilik wuduk dan persalinan pakaian di tingkat atas dilengkapi dengan kemudahan paip air. Manakala di tingkat bawah pula dibina deretan tandas bagi kemudahan para pengunjung.
Bilik Tetamu/VIP
Mengikut ajaran Islam terdapat adab menghormati tetamu yang mana bilik ini dilengkapi peralatan perabot moden dan alat hawa dingin. Ianya dikhaskan untuk tetamu kehormat dari dalam dan luar negeri. Bahagian silingnya dihiasi dengan ukiran dan lampu antik yang menarik.