Gonorrhoea
PENYAKIT gonorea ialah salah satu penyakit kelamin (sexually transmitted disease- STD). Kira-kira 62 juta kes dikesan setiap tahun di seluruh dunia. Penyakit ini disebabkan oleh sejenis organisma yang dikenali Neisseria Gonorrhoeae.
Organ wanita yang boleh dijangkiti gonorea ialah seperti saluran kencing, serviks, rahim, tiub fallopia, kelenjar kemaluan seperti kelenjar Bartholin (yang terdapat di bibir kemaluan), kelenjar Skene's (yang terdapat di bahagian bawah lubang saluran kencing).
Bagi lelaki pula, saluran kencing, epididimis (sebahagian daripada testis) dan kelenjar Cowper's mungkin dijangkiti.
Selain membabitkan permukaan mukosa yang wujud pada saluran kemaluan dan organ reproduktif, jangkitan juga boleh membabitkan permukaan mukosa yang ada pada dubur, rektum, mulut, tekak dan mata.
Penyakit gonorea ini dijangkiti melalui hubungan kelamin dan risiko jangkitan daripada satu hubungan kelamin dengan seorang yang dijangkiti gonorea ialah antara 30 dan 70 peratus.
Bayi juga boleh dijangkiti apabila dilahirkan oleh seorang ibu yang berpenyakit gonorea. Kira-kira 30 peratus daripada bayi ini akan mendapat permasalahan sakit mata (bertahi mata) pada minggu pertama selepas dilahirkan.
Berikut adalah gejala atau simptom penyakit gonorea:
Simptom bagi lelaki:
Keluar cairan (discharge) daripada saluran kencing lelaki. Lazimnya keadaan ini berlaku 3 hingga 10 hari selepas bersetubuh dengan wanita yang berpenyakit gonorea. Kadangkala pesakit berasa kesakitan sewaktu membuang air kecil.
Sebahagian kecil (15 peratus) daripada lelaki tidak mempunyai sebarang tanda jangkitan. Perlu diingatkan bahawa lelaki dan wanita berpenyakit gonorea yang belum dirawat boleh merebakkan penyakit ini kepada wanita yang disetubuhi termasuklah isterinya sendiri.
Simptom bagi wanita:
Tidak ada sebarang tanda yang khusus menandakan penyakit gonorea ini. Cairan yang keluar daripada faraj perlu dipastikan mengandungi organisma N gonorrhoeae sebelum membuat diagnosa dan memberikan rawatannya.
Sejarah hubungan kelamin yang dilakukan oleh seseorang yang dijangkiti penyakit gonorea perlu dijejaki supaya penyakit dapat dirawat dan dihalang daripada merebak. Apa yang lebih penting ialah untuk mengamalkan gaya hidup sihat, iaitu tidak mengadakan hubungan seks secara haram dan rambang.
Komplikasi daripada penyakit gonorea ini berlaku seperti berikut apabila penyakit tidak dirawat:
1. Jangkitan dan radang kelenjar atau organ yang dijangkiti organisma ini:
Bagi lelaki: Bengkak zakar, kelenjar di bawah lubang saluran kencing dan bernanah.
Bagi wanita: nanah pada kelenjar Bartholin, tiub fallopia, ovari, bengkak atau jangkitan hati.
Keadaan ini boleh menyebabkan saluran tiub fallopia tersumbat. Nanah dalam saluran tiub atau ovari (tubo-ovarian abscess) memerlukan pembedahan untuk mengeluarkannya.
2. Apabila penyakit gonorea ini merebak ke seluruh tubuh dan bukan hanya terhad pada bahagian kemaluan atau organ reproduktif, ia boleh menyebabkan kesakitan pada sendi, jangkitan pada kulit (dermatitis), jangkitan pada selaput jantung ataupun jangkitan pada selaput otak.
Ada ubat-ubatan yang boleh diberikan untuk merawat gonorea secara berkesan. Malangnya ada juga masalah ketahanan antibiotik (antibiotic resistance) oleh organisma ini. Dalam keadaan begini, ubat antibiotik yang lazim diberikan sudah tidak dapat memberi sebarang kesan untuk membunuhnya. Penggunaan antibiotik yang lebih kuat diperlukan dalam kes begini.
Lazimnya, seseorang yang berpenyakit gonorea ini juga boleh dijangkiti oleh penyakit kelamin yang lain seperti sifilis pada masa sama. Bagi wanita dan lelaki yang menghidap jangkitan gonorea, mudah juga dijangkiti HIV