Gunung Kinabalu

gunung di Malaysia

Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah, Malaysia, mempunyai ketinggian setinggi 4,095 meter daripada aras laut. Gunung Kinabalu merupakan gunung ketiga tertinggi di Asia Tenggara.

Gunung Kinabalu

Gunung Kinabalu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung.

Gunung Kinabalu merupakan lambang kemegahan kepada setiap penduduk yang tinggal di Sabah. Sesetengah penduduk menganggap Gunung Kinabalu ini merupakan gunung yang dapat memberikan semangat juang dan satu padu rakyat Sabah. Gunung Kinabalu banyak menyimpan cerita dan kisah-kisah yang misteri. Menurut kepercayaan masyararakat Kadazan Sabah, Gunung Kinabalu merupakan tempat bersemadinya semangat mereka selepas meninggal dunia.

Pembentukan

Gunung Kinabalu terhasil dari pertembungan litosfera Laut China Selatan dan litosfera yang membentuk kepulauan Borneo. Litosfera ialah bahagian paling atas permukaan kerak bumi. Dalam pertembungan itu, litosfera Laut Cina Selatan semakin terbenam ke bawah permukaan bumi memberi tekanan kepada litosfera yang membentuk Kepulauan Borneo.

Tekanan itu menolak bongkah Gunung Kinabalu yang terletak di bawah permukaan bumi naik ke atas permukaan bumi. Tolakan itu menyebabkan Gunung Kinabalu semakin meninggi setiap tahun tetapi pada kadar yang amat perlahan (5 mm) dan sukar dilihat dengan mata kasar [1].

Ketinggian asal Gunung Kinabalu dipercayai lebih tinggi iaitu antara lima hingga lapan kilometer (km) dari ketinggian sekarang. Bagaimanapun hakisan yang berlaku selama berjuta-juta tahun, menyebabkan paras Gunung Kinabalu kini hanya tinggal 4,095 meter.

Ciri fisik

Permukaan asal Gunung Kinabalu terdiri dari batu-batu sedimen yang terdedah kepada hakisan selama 8 hingga 12 juta tahun. Hakisan yang berterusan itu akhirnya mendedahkan batuan pluton yang lebih tegar.

Kesemua puncak tinggi di dunia dilitupi es tebal pada waktu kuartenar atau zaman air batu yang berlaku kurang dari satu juta tahun lalu termasuklah Gunung Kinabalu yang ketika itu sama paras dengan gunung-gunung di Pegunungan Himalaya. Ketika waktu itu puncak Kinabalu diliputi es dan berlaku pergerakan glasier. Kesan pergerakan glasier boleh dilihat di kawasan Pinusok Gravel iaitu satu tempat yang terletak antara Kundasang dan Ranau.

Rujukan

  1. ^ Geology of Kinabalu