Bendera Malaysia

artikel daftar Wikimedia
Revisi sejak 3 Juni 2005 07.00 oleh Quistnix (bicara | kontrib) (robot Adding:he,es,ja,pt,de,it)

Maksud tersirat di Jalur Gemilang

Bendera Malaysia dikenal sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia.

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Asal-usul Jalur Gemilang

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Pendapat umum diambil kira

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah didisiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.

Rekabentuk terakhir dipilih

Setelah diubahsuai beberapa kali, rekabentuk tersebut telah teliti pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Rekabentuk diluluskan

Rekabentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.

Pembentukan Malaysia

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Singapura berpisah

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada tanggal 9 Agustus1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Asal-usul Nama Jalur Gemilang

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohammad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40 di Dataran Merdeka.

JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Lirik lagu Jalur Gemilang

LAGU JALUR GEMILANG
(Lagu Asal: Benderaku)

Jalur Gemilang ku yang gagah perkasa
Merah putih kuning biru warnanya
Berkibar megah penuh bercahaya
Pusaka kita rakyat Malaysia

Jalur Gemilang oh bendera ku
Ku pertahankan sepenuh raga ku
Dikaulah lambang negara berpadu
Di bawah naungan Duli Tuanku

Berkibar terus oh bendera ku
Kau kan ku junjung sepanjang waktu
Harumlah nama negara yang tercinta
Padamu tempat taat dan setia

Jalur Gemilang bendera kita
Kemegahan rakyat kita semua
Berkibar berkibar di ruang angkasa
Dirgahayu bendera tercinta.

Ciptaan dan Senikata: Tony Fonseka

Diambil dari Wikipedia bahasa Melayu

Lihat Juga

  1. Kapal Jalur Gemilang
  2. Sejarah Kemerdekaan Malaysia